muhasabah

Wahai Saya bin Ibu Saya

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA. Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah, yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA. Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Munkar dan Nankir, maka janganlah berasa gentar dan takut. Janganlah kamu berduka cita dan risau serta janganlah kamu bersusah hati dan terkejut. Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA bahawasanya Mungkar dan Nankir itu hamba Allah Ta’ala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Ta’ala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.
Mereka berkata:
• Siapakah Tuhan kamu?
• Siapakah Nabi kamu?
• Apakah agama kamu?
• Apakah kiblat kamu?
• Siapakah saudara kamu?
• Apakah pegangan iktikad kamu?
• Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah. Biarlah tenang dan berhati-hati.
Hendaklah kamu jawab begini:
• Allah Ta’ala Tuhanku.
• Muhammad Nabiku.
• Islam agamaku.
• Baitullah itu kiblatku.
• Semua orang Islam dan orang beriman adalah saudara aku.
• Kitab suci Al-Quran ikutanku, malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
• Dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap, “La ila ha illallah Muhammaddur Rasulullah”.
Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu. Inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di alam Barzakh sehingga sampai satu masa kelak. Kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.
Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA. Bahawasanya mati ini adalah benar. Soalan malaikat Munkar dan Nankir di dalam kubur ini adalah benar. Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar. Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar. Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar. Minum di kolam air Nabi adalah benar. Ada Syurga dan Neraka adalah benar. Bahawasanya Hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.
Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal pada kamu di sisi Allah Ta’ala. Semoga Tuhan akan memberi kesejahteraan kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Ta’ala menjinakkan hati kamu yang liar dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.
“Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izzati amma ya sifun wassalum alalmursalin walhamdulillahi rabbil alamin”.
Setiap yang bernafas, pasti akan merasai mati – “Kullu nafsin zaa iqatul maut”.
Firman Allah SWT: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” – Surah Al-A’sr
Nota: Selepas mati, seorang yang beragama Islam akan disebut namanya dan di’bin’kan kepada nama ibunya, yakni yang melahirkannya.






kematian dan saat tiba nya maut


Dikisahkan ketika Allah mencipta Al-Maut (kematian) dan menyerahkan kepada Izrail, maka berkata malaikat Izrail, “Wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?”. Maka Allah menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun. Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka, “Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?” Kemudian Allah SWT berfirman: “Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu”.
Kemudian Allah memerintahkan Izrail mengambil Al-Maut. Walau bagaimanapun, Izrail khuatir jika tidak terdaya untuk mengambilnya sedangkan Al-Maut lebih agung daripadanya. Kemudian Allah memberikannya kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya. Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah hingga barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya.
100 hari sebelum kematian – Ini adalah tanda pertama dari Allah kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.
40 hari sebelum kematian – Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih akan merasakan seakan-akan bingung seketika.
7 hari sebelum kematian – Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan.
3 hari sebelum kematian – Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
1 hari sebelum kematian – Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.
Hari kematian – Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.
Baginda Rasullullah S.A.W bersabda, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu”.
Sambung Rasullullah S.A.W. lagi, “Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya”.
Sama-sama kita renungkan.




cinta tanpa syarat

Cinta tanpa syarat


Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas
kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan
berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua
sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan
mendidikku semasa kecil." (Al-Israa' 17: 24)

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan
rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka
menyayangiku ketika diriku masih kecil".

Itulah doa saya sebentar tadi, semasa bersolat zohor.

Entah kenapa, tiba-tiba hati saya terlalu tersentuh dengan doa
tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali saya membaca doa yang sama.
Adakah kerana rindu saya terhadap ayahanda yang sudah masuk 14 tahun
meninggalkan kami. Ya, saya rindukannya, terutamanya ketika hidup
saya diasak dengan pelbagai cabaran, dan saya rindukan tangan
ayahanda yang sering menepuk bahu agar masalah saya mengecil dan
pergi oleh senyumannya.

Apakah saya terharu kerana saya rindukan bonda di kampung. Kampung
yang sunyi, bersama teman-teman berbualnya yang pulang ke pangkuan
Ilahi, seorang demi seorang. Bonda memang kesepian, hanya panggilan
telefon dari anak-anaknya sahajalah pengubat sunyi itu. Mujurlah
bonda kuat membaca. Majalah I saya hantarkan setiap bulan, kulit ke
kulit habis dibacanya. Tazkirah Untuk Orang Mengaji oleh Ustaz
Sonharji, saya belikan dan cepat sekali bonda menghadamnya. Kata
bonda, "jika sunyi dan tak buat apa-apa, kenalah baca buku. Kalau
dibiarkan otak beku, nanti datang jemu dan nyanyuk, jadi pelupa dan
kemudian susahlah anak-anak nak melayan orang tua yang begitu."

Saya memang rindukan emak. Emak juga rindukan suaminya. Jika diselak
langsir dapur, sayup-sayup kelihatan sepasang nisan pusara abah di
tepi masjid sebelah rumah. Emak sering termenung di tingkap itu,
merenung kisah silam mereka, dan kenangan manis membesarkan kami
berlima. Arwah opah pernah berkata, "aku hairan tengok kamu berlima
ni. Dari kecil sampai besar, tak pernah bergaduh. Walhal hero-hero
belaka!" Saya juga terkenang, memang kami berlima hero-hero belaka.
Semua adik beradik saya lelaki tetapi kami memang tidak pernah
bergaduh.

Mungkin semua itu kerana watak abah. Dia menjadi tumpuan kami dan
kami sentiasa bergelak ketawa hingga ke meja makan. Kami tiada masa
untuk bergaduh kerana semua ketawa dan sedih kami adalah bersama
abah. Namun selepas abah pergi mengejut oleh serangan jantung,
keluarga kami sunyi hilang ketawa. Sepi..

Kucing-kucing belaan kami yang suka menjilat peluh abah semasa dia
sakit terlantar, turut mati seekor demi seekor. Begitulah kami di
rumah, tertumpu pada abah. Kini emak saya pula melayan sepi dan sunyi
itu sendirian. Saya sangka, saya sukar menemankan emak kerana saya
terhumban di hujung benua. Selepas lebih sedekad saya di luar negara,
saya segera pulang ke kampung halaman. Namun selepas bekerja di KL,
rupa-rupanya keadaan tidak banyak berubah. Saya masih sukar untuk
balik ke kampung, akibat Kuala Lumpur dan kehidupan saya yang amat
menekan masa.

Saya jatuh rindu dan saya mohon ampun dari Allah atas dosa saya
membiarkan emak kesunyian di kampung.

Tetapi tengah hari tadi, saya tidak hiba kerana itu. Ada sesuatu yang
lebih halus darinya. Mungkin sebentar tadi, buat kali pertamanya saya
dapat merasakan apakah sebenarnya yang saya minta dari Allah, Tuhan
yang telah memberikan seorang ibu dan bapa yang pengasih kepada saya.

Mengapakah apabila saya merintih keampunan dari Allah, saya kaitkan
ia dengan kasih sayang bonda dan ayah semasa saya kecil?

Hari ini saya berusaha memikirkan jawapannya.

"Rizal minta maaf emak sebab susah sangat nak balik ke Ipoh. Kerja
tak habis-habis. Lagi pun ada masanya Rizal cuti, tapi Muna pula yang
kerja. Saif selalu menyebut tentang opahnya. Naurah pun dah makin
besar. Imad pun dah pandai meniarap", keluhan saya kepada emak
beberapa ketika yang lalu.

""Tak apa, mak pun minta maaf sebab jarang dapat ke Kuala Lumpur.
Kaki mak ni asyik sakit, kepala pun berat. Tak seronok nak berjalan-
jalan kalau begini. Datang rumah kamu pun nanti menyusahkan sahaja.
Asalkan kamu ingat emak dalam doa, Alhamdulillah" , itulah suara dari
hati emak.

Semasa berdoa tadi baru saya sedar, emak amat pemaaf. Dia memaafkan
saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Paling
menyerlah, pemaaf emak semasa saya kecil…

Saya pernah teringin untuk minum air sirap ros, tetapi patinya sudah
habis. Semasa emak sibuk menanda buku latihan anak-anak muridnya,
saya ke dapur dan cuba memasak gula di dalam periuk. Secawan gula
dicampur dengan pewarna merah, dimasak di atas api. Saya baru darjah
tiga dan tidak terfikir untuk menambah air. Akhirnya gula hangus dan
beku, periuk berkerak dan hampir mustahil untuk dibersihkan. Kerana
takut, saya simpan periuk itu di dalam kabinet dapur. Seminggu masa
berlalu, apabila emak terjumpa periuk itu, dia tahu itu angkara saya.
Dia tidak marah tetapi mencebikkan muka kesedihan.

"Emak tak marah?", saya cuba memberanikan diri bertanya.

"Emak tak marah kamu cuba masak gula ni. Tapi emak sedih sebab kamu
sorok periuk ni dalam kabinet", itulah katanya.

Saya menangis kerana terasa bersalah cuba menipu emak dan dia dengan
segera memujuk.

Saya pernah cuba membasuh kain sendiri, tetapi kerana lupa memasukkan
getah ke bilik air, habis seluruh dapur banjir ditenggelami air
sabun. Emak tidak marah.

Saya juga pernah berayun di buaian sambil berdiri walaupun ditegah.
Apabila buaian terlalu laju, saya tercampak dan muka tersembam ke
pasu bunga. Sampai ke hari ini saya masih dapat merasa tuam pasir
panas di pipi yang sudah kebiru-biruan. Emak tidak marah.

Abah juga tiada bezanya. Dia tidak pernah memaksa saya membaca buku
tetapi jika gagal mendapat tempat pertama, dia menepuk bahu saya
sambil berkata, "nanti mainlah lagi ya. Jangan baca buku."

Dia tidak marah tetapi saya sendiri yang rasa terseksa dan bersalah.

Saya pernah bergaduh dengan Pengetua di sekolah. "Maaf ustaz, kalau
begitulah cakap ustaz, saya pun `tak hingin' nak sekolah di sini!",
jiwa anak muda di Tingkatan 4 memberontak. Saya pulang ke asrama,
mengemas beg baju dan langsung meninggalkan Negeri Sembilan untuk
pulang ke kampung tanpa berfikir panjang.

Saya tiba di Ipoh selewat jam 11 malam. Abah amat terkejut dengan
tindakan saya berhenti sekolah, tetapi dia tidak marah. Dia berikan
saya wang RM50 sambil berkata, "ambil duit ni dan uruskan sendiri
kamu nak bersekolah mana selepas ini". Itu cara abah. Dia jarang
sekali marah.

Emak dan abah amat mudah memaafkan saya. Tidak kira apa sahaja
kerenah kami, mereka memaafkan kami seadanya. Mereka menerima kami
sebagai anak-anak yang banyak kelemahan dan atas penerimaan itu,
mereka mengasihi kami TANPA SYARAT.

Emak dan abah menerima saya atas segala yang ada pada diri ini. Saya
taat atau degil, saya rajin dan saya culas, saya senyum atau saya
menjerit, mereka menerima saya seadanya. Mereka terus menyayangi dan
mengasihi saya tanpa syarat. Mereka tidak pernah memberitahu saya
bahawa semua kebaikan yang mereka buat selama ini, mesti dibalas
apabila kami telah dewasa. Kami balas atau tidak, kami ingat atau
lupa, tugas mereka hanyalah membesarkan kami dengan penuh kasih
sayang, TANPA SYARAT.

Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya
mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan
bapa kepada anaknya. Suami mengasihi isteri, sering mengharap balas.
Isteri mengasihi suami, kerap juga ada sesuatu yang terselindung di
sebaliknya. Apatah lagi jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk
dipastikan tulus persahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat
memaafkan sahabatnya tanpa syarat? Mungkin ada, tapi sering tiada.

Apa yang pasti, hanya ibu bapa sahaja yang mampu mengasihi anak-
anaknya tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas
kasih itu. Jika seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sanggup berjaga
malam dan berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun
apabila tiba giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus
menjaga, tetapi hati mudah berkata, "bilalah orang tua ini nak
mati!". Ya Allah, lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.

Hati saya amat sedih melihat kaum Cina di KL berebut-rebut menghantar
ibu dan bapa mereka ke wad kecemasan Hospital UKM sehari sebelum
Tahun Baru Cina. Pesakit berumur 60 tahun (kalau tak silap saya) ke
atas, rawatan di HUKM adalah percuma. Maka inilah cara mudah mereka
untuk get rid ibu bapa mereka di musim perayaan. Kalau hantar ke
rumah orang tua-tua, mahal pulak bayarannya. Allah Allah….

Saya masih ingat dialog ayah tengah hari itu. Dia baru sahaja pulang
dari menunaikan Haji.

"Abah kat Mekah doa apa, abah?", saya bertanya.

"Abah doa supaya Allah jangan panjangkan umur abah sampai nyanyuk.
Takut anak-anak tak tahan. Takut kamu jadi anak durhaka!", kata ayah
saya sambil mata redupnya merenung saya yang terkelu lidah. "Abah,
jangan cakap macam tu…", saya sebak dan hanya mampu membiarkan air
mata kering di pipi. Ayah pergi meninggalkan kami pada malam hari
lahir saya yang ke-17, hanya setahun lebih selepas perbualan kami itu.

Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-
kadang tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu dan
ayah, mampu menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan
setahun dua malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu membelai,
mereka mudah memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan
CINTA TANPA SYARAT.

Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap
lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan
pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha
Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak
hisab, tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku
tanpa syarat, mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.

Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka
yang mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan Kasih-
sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat…

NAMUN…
Mungkinkah semua itu, Allah kurniakan kepada saya? Siapakah saya
untuk meminta pengampunan yang terus tanpa syarat? Malah jika setiap
detik hidup dalam sehari itu dihitung, terasa betapa dosa sahaja yang
banyak berbekas. Sedangkan tanpa saya sedar saya banyak meletakkan
syarat terhadap Allah. Aku ingat kepada-Mu, dengan syarat aku sudah
hilang penyelesaian. Aku sanggup lakukan apa yang Engkau suruh,
tetapi selepas aku melihat apa kebaikan yang aku dapat!

Hinanya diriku. Lupa sudah pada hakikat diri sebagai hamba. Hamba
yang tidak layak meminta, apatah lagi untuk meletakkan syarat kepada
Tuhannya. Astaghfirullah.

Menghitung hari, padanya terpalit pelbagai dosa. Paling kurang,
setiap hari saya dibelenggu rasa terkilan dan berdosa kerana bonda
kesunyian di kampung. Setelah pulang ke Malaysia, saya masih belum
dapat menjaganya di depan mata.

Bayangkan, jika Allah mengampunkan kita dengan syarat, binasalah diri
ini. Mampukah saya lepas segala syarat itu? Jika Allah syaratkan
setiap solatku mesti khusyuk, apakah ada satu solatku yang sampai
kepada apa yang Allah syaratkan itu?

Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat pada
amalan. Melainkan Rahmat Allah itu jualah jawapannya. Dengan kasih
sayang-Nya.

Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul
kita kepada sifat al-Wahhab Allah SWT. Saya baru mendengar kuliah 99
nama Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba
di hati saya.

Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha
Memberi. Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di
dalamnya lima sifat:

Memberi tanpa meminta apa-apa balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab
itu Maha Kaya, tidak perlu kepada Makhluk. Kerana itulah Allah SWT
Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung
perbendaharaan- Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan
kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang.
Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9
anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka,
mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih
sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.

Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali,
tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat inilah
yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap
malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya,
demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan
sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik
kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.

Memberi tanpa diminta. Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa
diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia
berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita
sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha
Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah
tanamkan kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan
hidup diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala,
semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa
diminta.

Memberi sesuatu yang amat berharga. Allah Dia yang al-Wahhab memberi
dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia
kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan
dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang
menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa
menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas
binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai
masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri.
Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-
cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita.
Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua
pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga,
kasihnya ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh
sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.

Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan. Allah jua
dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar
dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa
khidmat kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita
bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-
Nya kita pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.

Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa
kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan
itu jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat
untuk anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah
mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana
syarat Allah terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan
kerdil seperti kita.

"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan
rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka
menyayangiku ketika diriku masih kecil".